4 Jun 2012

Thoughts #2

Sesuatu yang menyeramkan bila orang salah faham dengan apa yang kita cuba maksudkan dalam percakapan. Lebih menyedihkan bila salah anggap itu berterusan sehingga pihak lain juga bersetuju dengan kefahaman itu. Terkadang aku tidak puas hati dengan sesuatu perkara. Tapi pantas orang mencelah kata aku cemburu buta. Aku terlalu agungkan keadilan sehingga alpa adil itu tidak wujud dalam kamus kehidupan melainkan kita sendiri menegakkannya. Apa selama ini aku hanya menegakkan benang yang telah basah?

Putus kata, harus juga aku lakukan demi kebaikan semua pihak kecuali aku. Tapi terkadang kegembiraan itu membunuhku hingga akhirnya keadaan menjadikan aku antagonisnya, sedang mereka menikmatinya. Jiwaku masih utuh dengan falsafah adil dan benar, ego terkadang singgah di benak yang juga selalunya menjadi punca kekuatan untuk terus berjuang hidup. Pernah aku melihat antara mereka yang tersungkur dengan kesombongan. Tapi itu bukan peluang untuk aku tertawa, malah semakin berjaga-jaga pabila waktu itu terpalit pada aku jua kemudian.

Ketika senang, senang dilupakan. Ketika payah, payah melupakan. Jadi apa benar kesenangan dihebah-hebahkan, kesusahan dirahsia-rahsiakan? Kesederhanaan. Itu keperluan. Biar sang tempayan mati kutu mahu memalukan. Bila ada yang bangga terasa lebih, kita lebihkan. Bila kita ada, pada Allah kita mensyukuri. Yang penting ada dan berguna. Bukan wajib yang baru baru mahu. Tak perlu dibahas kekurangan orang, sedang kekurangan itu menaikkan darjat dan maruah diri dan sekeliling yang berkaitan.

Penindasan maruah melemahkan mentaliti seseorang terhadap kehidupan. Namun, masih jua tiada kesedaran dan berterusan hingga aku sendiri bingung ia tidak berkesudahan. Sebelah aku kau inginkan sedang separuh diriku yang lain terus rebah dan binasa dek kutukan. Terangkan padaku apa sebenar yang kau ingin maksudkan dan mahukan.

Langkah ini adalah demi kebaikan semua orang. Kadang kita harus kejam demi satu kebaikan yang berpanjangan. Langkah ini adalah konklusi untuk semua yang terjadi. Biar konklusi ini hanya dari sebelah pihak, harapanku semoga ia mampu memudahkan semua pihak.

No comments: